ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil dan merakam keterangan 16 individu setakat ini berhubung siasatan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijangka berlangsung esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lima daripada mereka adalah ahli politik dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti penganjur perhimpunan tersebut.

“Kita sudah panggil 16 individu dan lima daripadanya adalah ahli politik tetapi kami tidak boleh dedahkan identiti mereka memandangkan siasatan polis masih berjalan.

“Kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kes ini untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” kata beliau dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada hari ini.

Tambah beliau, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Semalam Noor Dellhan mengesahkan bahawa aktivis, Adam Adli Abdul Halim telah hadir ke IPD Dang Wangi dan dirakam keterangan berhubung perhimpunan tersebut.

Adam Adli dilihat hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguamnya kira-kira jam 2.40 petang dan mengaku memberi kerjasama kepada polis, selain tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula.- MalaysiaGazette