Sebahagian PATI yang ditemui selamat selepas bot yang membawa 27 orang warga Indonesia karam di Teluk Ramunia. foto Maritim Johor

JONOR BAHRU – Tiada penemuan baharu baki tiga mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam di di Teluk Ramunia yang membawa 27 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria dalam kenyataan media memberitahu, OP CARILAMAT hari kedua melibatkan 41 petugas di Pengkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) yang terdiri daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui.

Pencarian dimulakan pada jam 7 pagi tadi dengan melibatkan keluasan 35.82 batu nautika persegi di laut sekitar perairan Tanjung Sepang sehingga Pengerang dengan kekuatan tujuh aset daripada Maritim Malaysia serta agensi sahabat.

Pencarian di pesisir pantai dilakukan oleh pasukan penyelamat sejauh 20 kilometer turut melibatkan bantuan dron milik JBPM.

Semalam dilaporkan, sebuah bot dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam dalam satu kejadian di perairan Teluk Ramunia di sini, awal pagi Khamis.

Bot membawa 27 PATI yang dipercayai datang dari Pulau Bintan, Indonesia dilaporkan karam pada kedudukan 0.8 batu nautika perairan Teluk Ramunia di sini pada jam 4.50 pagi kelmarin.- MalaysiaGazette