Dua hari berturut-turut kes positif meningkat melebihi angka 4,000 kes sehari.

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 hari ini terus meningkat dengan laporan terbaharu daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga jam 12 tengah hari ini menunjukkan jumlah terkini sebanyak 4,116 kes.

Jumlah itu menyaksikan kenaikan kes baharu untuk tempoh dua hari berturut-turut.

Berbanding semalam 4,046 kes, pertambahan sebanyak 70 kes itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sehingga petang ini kepada 2,829,089 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 4,116 itu, 498 adalah kes import iaitu 406 melibatkan warganegara dan 92 bukan warganegara.

“Laporan juga mencatatkan 39 kes adalah kategori 3, 4 dan 5, manakala 4,077 kes kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Beliau berkata, status terkini kes Covid-19 di Malaysia sehingga tengah hari ini ialah kes sembuh 2,858 kes (2,753,119 kes kumulatif, 97.3%) dan kes baharu 4,116 kes (2,829,089 kes kumulatif).

Dr. Noor Hisham Abdullah

Kes import pula katanya, 498 kes (406 warganegara, 92 bukan warganegara), kes tempatan 3,618 kes [3,504 warganegara, 114 bukan warganegara).

Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 141 iaitu 116 kes disahkan Covid-19, 25 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 62 iaitu 44 kes disahkan Covid-19, 18 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Jumlah kluster yang direkodkan ialah 6,293, diikuti sembilan kluster baharu, 6,068 kluster yang telah tamat dan 225 kluster aktif,” katanya.

Menurut beliau, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my.

Mengenai situasi terkini mengenai mutasi Spike Protein Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 462 kes baharu Variant of Concern (VOC) iaitu varian Delta telah dilaporkan daripada 19 Januari sehingga hari ini.

Katanya, Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) telah mengenalpasti 278 kes baharu; Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGI) (155 kes), manakala Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 18 kes dan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM) pula mengenalpasti 11 kes..

Ini katanya, menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) sebanyak 6,894 kes.

Daripada jumlah yang dikesan itu, 6,874 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI.

Keseluruhan sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 6,188 kes varian Delta, 439 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha, manakala bagi kes VOI terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta. – MalaysiaGazette