Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – UMNO belum mendapat sebarang permohonan rasmi daripada Pas untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setakat ini, kerjasama kedua-dua parti akan melihat kepada apa yang berlaku pada PRN Melaka sebelum ini.

“Belum ada sebarang keputusan dan tidak ada permintaan secara rasmi daripada Pas. Kita melihat kepada apa yang berlaku di Melaka setakat ini itulah yang akan kita lakukan di Johor,” katanya kepada media dalam sidang akhbar hari ini.

Ahmad ditemui selepas menghadiri mesyuarat ketua-ketua bahagian UMNO Johor yang berbincang mengenai keperluan untuk mengadakan PRN Johor.

Sebelum itu, media melaporkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikatakan bersedia bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Johor.

Terdahulu, dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad itu, kesemua 26 ketua bahagian parti memberikan persetujuan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi melaksanakan pilihan raya negeri.

Tambah Mohamad, selain Pas, BN juga tidak menerima sebarang permohonan daripada parti-parti komponen Perikatan Nasional untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri berkenaan.

Pada PRN Melaka Pas memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan UMNO selepas UMNO menolak untuk bekerjsama dengan Bersatu.-MalaysiaGazette