Malaysia akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (EB WHO) sesi ke-150 di Geneva, Switzerland pada 24 hingga 29 Jan ini.

PUTRAJAYA – Malaysia akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (EB WHO) sesi ke-150 di Geneva, Switzerland pada 24 hingga 29 Jan ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), delegasi Malaysia diketuai Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan disertai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta pegawai kanan kementerian.

Khairy akan menyampaikan kenyataan negara dan membuat intervensi ke atas agenda perbincangan mesyuarat antaranya Global Strategy for Tuberculosis Research and Innovation, Immunisation Agenda 2030, WHO Global Strategy for Food Safety dan Road Map for Neglected Tropical Disease 2021-2030.

Malaysia telah dilantik sebagai ahli EB WHO mewakili rantau Pasifik Barat bagi tempoh tiga tahun bermula Mei 2021 hingga Mei 2024 dengan Ahli Lembaga Eksekutif WHO di peringkat kementerian diwakili Khairy dan Dr Noor Hisham.

Menyifatkan penyertaan Malaysia ke EB WHO adalah penting, KKM memaklumkan mesyuarat berkenaan membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.

“Malaysia juga akan mengetengahkan isu kesihatan signifikan yang bukan sahaja melibatkan negara, malah negara anggota rantau Pasifik Barat,” menurut KKM.

Kenyataan itu memaklumkan mesyuarat EB WHO juga merupakan platform yang menyediakan ruang bagi konsultasi dan perbincangan lanjut bersama ahli lembaga eksekutif lain demi kepentingan sektor kesihatan sejagat.- BERNAMA