Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir pada Mesyuarat Khas UMNO Pejabat UMNO Negeri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2022.

JOHOR BAHRU – UMNO sudah mempunyai senarai calon untuk dipertaruhkan sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui di Bangunan Perhubungan UMNO Johor sebentar tadi.

Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang menganggukkan kepala ketika ditanya oleh media sama ada UMNO telah mempunyai senarai nama calon bagi menghadapi PRN Johor.

“Ya,” katanya perlahan.

Selain Mohamad Khaled seramai 25 ketua bahagian UMNO Johor turut hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohamad.

Mesyuarat tersebut dikhabarkan akan membincangkan berkenaan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dimulakan pada pukul 2.15 petang.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dijadual akan mengadakan satu sidang media khas sejurus mesyuarat selesai.- MalaysiaGazette.