Foto: APMM

JOHOR BAHRU – Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) baki dua lagi pendatang tanpa izin yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, dekat Kota Tinggi, ditamatkan hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Op Carilamat itu ditamatkan pada 5 petang tadi.

“Hasil penilaian terhadap situasi semasa pencarian serta persetujuan bersama-sama kesemua agensi terlibat, Op Carilamat ditamatkan 5 petang tadi setelah pencarian selama empat hari (di perairan negeri) tidak menemukan mangsa yang masih hilang,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun aset Maritim serta agensi lain yang melaksanakan rondaan harian di lapangan akan terus melakukan pemantauan serta melaporkan sebarang penemuan berkaitan mangsa sekiranya ditemui.

Nurul Hizam berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru turut merakamkan jutaan penghargaan kepada semua agensi serta komuniti Maritim yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu.

Dalam kejadian 4.50 pagi Khamis (20 Jan) lepas, bot kayu yang membawa 27 pendatang asing dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan, Indonesia, karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang.

Sebanyak 19 individu terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki selamat dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, enam mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan lima wanita warga Indonesia ditemukan lemas, dengan mangsa lelaki ditemukan semalam kira-kira lima batu nautika barat daya Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura, manakala dua lagi masih belum ditemukan sehingga kini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast