Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader bergambar selepas hadir ke program retreat Kimma dan Gerak Gempur Jentera di Pejabat UMNO Negeri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 23 JANUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan enggan mengulas sekarang mengenai keputusan UMNO Kelantan untuk tidak lagi bersama Pas negeri menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta.

“Itu kita cerita kemudian,” jawab Ahmad ringkas dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Gerak Gempur Jentera Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Pejabat Perhubungan UMNO Johor.

Turut hadir Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Semalam, UMNO Kelantan membuat keputusan tidak meneruskan hubungan, berikutan PAS Kelantan yang masih menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan tetap memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahmad Jazlan berkata, keputusan berkenaan mencapai kata sepakat daripada ahli UMNO negeri selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Pas negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.

Sementara itu, mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Johor, Ahmad berkata, BN akan meneruskan formula yang dipakai pada PRN Melaka.

“Sebelum ini di Melaka kreteria calon yang diumum presiden UMNO adalah WALI iaitu W winnable, A acceptable, LI likable.

“Calon boleh menang winnable, acceptable calon yang boleh diterima dan likable calon disukai iaitu antara yang disebut oleh pengerusi BN sebelum ini. Dia kena jadi WALI,” jelas Ahmad.

Tambah beliau, BN belum lagi membuat keputusan mengenai calon yang akan ditampilkan pada PRN Johor. Bagaimanapun perlu ada kombinasi calon lama dan muda.

Dalam pada itu Ahmad berharap parti gabungan UMNO dan BN seperti Kimma akan menyokong calon-calon BN dalam PRN Johor.

Ahmah berkata, Kimma mempunyai peranan penting dalam menarik sokongan 68,000 orang pengundi berketurunan India Muslim di negeri itu.

“Kimma penting. Ada 48,326 ahli yang terdapat di 26 bahagian dan 216 cawangan di Johor.

“Saya selaku Setiausaha Agung UMNO berharap agar pengundi India Muslim akan mengundi Barisan Nasional pada PRN yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” kata Ahmad Maslan.

Selain Kimma turut menjadi parti mesra BN adalah Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia, Makkal Sakti dan Parti Cinta Malaysia.-MalaysiaGazette