Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak ada kena mengena langsung dengan mana-mana kes mahkamah membabitkan pemimpin UMNO.

Oleh itu, kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengaitkan PRN Johor dengan kluster mahkamah nyata tersasar.

Bahkan, ia tiada kena mengena dengan “pemisahan kuasa” antara badan eksekutif dan badan kehakiman, tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

”Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

”YAB Menteri Besar Johor telah menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor berada dalam keadaan rapuh dan tidak stabil. Itulah antara faktor utama yang telah dipertimbangkan oleh semua pihak, baik pihak Istana Johor, UMNO Johor dan kerajaan negeri sebelum mengambil keputusan untuk membubarkan DUN Johor.

”Kita terima keputusan ini dan berharap pilihan raya ini dapat memberi mandat baharu untuk sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan akan terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Soal Shahril lagi, bukankah pilihan raya suatu amalan paling asas demokrasi dan justeru konsep pemisahan kuasa itu sendiri, yakni memberi mandat rakyat kepada badan legislatif.

Malah, jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah masuk gelanggang dalam hampir kesemua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini dan tidak pula dikaitkan dengan kluster mahkamah.

”Kenapa tiba-tiba sewaktu perlu berdepan PRN Johor sahaja dakwaan janggal seperti ini dikeluarkan? Melainkan sudah mula ada kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri,” soal beliau.

Beliau mengingatkan, seperti mana-mana PRN-PRN sebelum ini, pemimpin-pemimpin parti perlu sentiasa mengingatkan sesama sendiri bahawa tidak kiralah kestabilan, atau kuasa yang dicari, jangan kita sesekali merosakkan segala usaha kita dalam memulihkan negara berikutan pandemik Covid-19.

Ini kerana, UMNO juga yakin dengan institusi seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain, akan terus menyeimbangkan kemudahan urusan rakyat bagi memenuhi hak demokrasi dan keselamatan rakyat secara umumnya. – MalaysiaGazette