Datuk Hasni Mohammad selepas sidang media mengenai pembubaran DUN Johor bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat UMNO Negeri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor tidak memandang ringan Undi18 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya mempunyai strategi bagi menarik golongan muda memilih BN pada pilihan raya tersebut.

Katanya, terdapat kira-kira 150,000 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun di negeri itu dan Johor merupakan negeri pertama yang membolehkan golongan tersebut mengundi pada PRN.

Hasni Mohammad ketika hadir pada program Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru, Johor.

“Sudah pasti kita tidak memandang enteng dan kita akan susun langkah untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi muda. BN sudah menggerakkan jentera untuk mendekati golongan berkenaan dan yakin berupaya mendapat sokongan mereka.

“Seperti parti lain, gerak kerja dan menggerakkan jentera diketuai orang muda untuk mendapatkan sokongan pengundi muda akan kita atur.

“Kita juga menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendekati golongan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas program Taklimat Pilihanraya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Ditanya mengenai persediaan manifesto untuk PRN Johor, Hasni berkata, manifesto bukan faktor utama menentukan kemenangan dalam PRN.

Sebaliknya manfaat kepada rakyat adalah lebih utama, ujarnya.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 rakyat telah dijanjikan pelbagai perkara dalam manifesto pembangkang tetapi tidak ditunaikan dan itu diakui sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Jadi, saya tidak rasa manifesto adalah kunci utama untuk menang pilihan raya lagi kerana apa yang penting adalah hala tuju kerajaan negeri yang hendak dibawakan sesebuah parti tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette