Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Menyifatkan sekarang bukanlah masa sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun Pakatan Harapan (PH) akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan pilihan raya.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pandangan itu mengambil kira beberapa faktor yang melanda negara ketika ini termasuklah virus Omicron Covid-19, bencana banjir, selain isu ekonomi yang sedang dihadapi.

“Kerana itulah PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di Dewan Negeri telah memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

“Penggal pentadbiran berbaki kurang lebih setahun sahaja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?.

“Kami juga cukup yakin inilah kerisauan, hasrat serta nurani rakyat biasa pada ketika ini. Bahkan pelaksanaan pilihan raya negeri yang bakal menelan belanja sekurang-kurangnya RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

‘Malangnya, dakwa beliau, UMNO tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar.

PH mendakwa, tindakan UMNO mencetuskan PRN sebagai helah untuk mengambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

”Ini adalah pilihan raya yang dipaksakan dan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. Apa pun, PH Johor akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berhadapan situasi ini,” ujarnya.

Semalam Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah mengadap baginda di Istana Bukit Serene pada jam 5 petang semalam selepas mendapat persetujuan semua Ketua UMNO Bahagian untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast