Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bersama Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah hadir pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Kipidap Malaysia di Dewan Rekreasi Yayasan Pendidikan Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor tetap meneruskan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) sebagai mana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

Ketua Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dan Pas merupakan pembangkang di Selangor dan disebabkan itu tidak ada masalah untuk meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti.

“Kami di Selangor ini beza sikit daripada negeri lain sebab di Selangor UMNO pembangkang, Pas juga pembangkang.

“Kalau kita lihat sejarah, Muafakat Nasional ini ditubuhkan waktu UMNO jadi pembangkang di Parlimen… Pas juga jadi pembangkang di Parlimen ketika itu.

“Bila kita bersama jadi pembangkang suara kita sama, maka tertubuhlah MN. Jadi, konsep dan semangat itu juga sama di Selangor,” katanya ketika ditanya mengenai hubungan antara UMNO dan Pas dalam MN selepas UMNO Kelantan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pas negeri berkuatkuasa serta-merta.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Koperasi Kipidap Malaysia Berhad, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.

Mengulas lanjut, Noh berkata, UMNO Selangor akan tetap bersama dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden parti kerana ia akhirnya akan membawa kepada keutuhan dan kekuatan UMNO sendiri.

Sementara itu, ditanya mengenai pandangannya berhubung pengumuman yang dibuat oleh Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Shahruddin Md Salleh bahawa Pejuang akan bertanding secara solo di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan, Noh berkata, ia tidak menjadi ancaman kepada BN.

Katanya, perkara itu telahpun dibuktikan sebagai mana yang berlaku pada PRN di Melaka.

“Saya ingat dalam pilihan raya ini, Barisan Nasional telahpun membuktikan bahawa walaupun solo di Melaka telah dapat kejayaan yang luar biasa

“Jadi, saya tidak mahu komen lebih kerana ini kuasa pimpinan. Bagi saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Selangor kita akan akur dengan apa juga keputusan (bertanding) yang dibuat oleh pucuk pimpinan,” ujarnya. – MalaysiaGazette