Nabila Huda

KUALA LUMPUR – Aktivitis tempatan, Fatimah Zaharah Rahim menuntut permohonan maaf dan ganti rugi fitnah sebanyak RM900, 000 daripada pelakon, Nabila Huda Suhaimi atas dakwaan fitnah di laman media sosialĀ  tahun lalu.

Tuntutan tersebut dibuat setelah aktivis itu mendapat nasihat daripada peguamnya, Nurul Hafidzah Hassan, Zeti Zulkifli dan Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Menerusi kenyataan hari ini, Fatimah yang diwakili oleh firma guaman NHA Advocates & Solicitors telah menghantar surat tuntutan melalui serahan tangan kepada Nabila pada 20 Januari lalu.

Nabila yang juga anak penyanyi terkenal, Amy Search itu didakwa telah menyebarkan berita palsu dan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah pada 25 Disember 2021 melalui aplikasi Instagram miliknya.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah didakwa membawa maksud Fatimah adalah seorang yang bangsat, bodoh, pencuri, mengambil dan memberi barang sumbangan orang lain namun mengakui barangan tersebut adalah daripadanya selain mengambil kesempatan ke atas orang lain.

Akibat kenyataan tersebut ia telah mendedahkan Fatimah kepada kebencian orang ramai apabila melihat dan membaca apa yang telah ditulis oleh pelakon tersebut.

Kenyataan fitnah tersebut telah dikongsi dan ditonton di pelbagai platform media sosial yang lain termasuk di Youtube, laman-laman portal berita dan juga saluran media.

Beliau seterusnya mendakwa fitnah dan berita palsu itu juga turut memberi kesan buruk kepada ahli keluarganya.

Menurut Nurul Hafidzah, anak guamnya tidak pernah melakukan apa yang didakwa Nabila dan beliau telah menerima kecaman, ugutan dan komen-komen yang tidak benar daripada masyarakat berikutan kata-kata yang dikongsikan oleh pelakon tersebut.

Sebelum ini, Nabila dikatakan terkejut mengenai perkara itu kerana hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh pengikutnya di media sosial.

Menurut kenyataan, sekiranya tiada permohonan maaf, pembayaran gantirugi RM900, 000 atau gantirugi yang setimpal dengan kesan daripada tindakan dakwaan fitnah tersebut dalam masa tujuh hari selepas penerimaan surat tuntutan, aktivis tempatan itu akan terus memfailkan tuntutan di mahkamah.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nabila bakal disaman aktivis