Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memandang serius perbuatan mencuri elektrik oleh para pengusaha mata wang kripto, bitcoin yang didapati semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dengan peningkatan lebih 400 peratus kes sejak empat tahun lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memandang serius perbuatan mencuri elektrik oleh para pengusaha mata wang kripto, bitcoin yang didapati semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dengan peningkatan lebih 400 peratus kes sejak empat tahun lalu.

Berdasarkan rekod, 610 kes kecurian elektrik telah dikesan pada 2018, diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes pada 2021. Peningkatan kes ini dilihat satu trend yang membimbangkan kerana ia memberi kesan bukan sahaja kepada industri tenaga dari segi nilai, bahkan terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik dan keselamatan awam.

Untuk rekod, sejumlah 7,209 kes yang dikesan sepanjang empat tahun lalu (mulai 2018) telah menyebabkan kehilangan lebih 4,545 GWh dengan anggaran kerugian lebih RM2.3 bilion.

Sehubungan itu, KeTSA menyambut baik kerjasama pelbagai agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membanteras perbuatan yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengusaha bitcoin yang tidak bertanggungjawab dikesan mencuri elektrik dengan mengusik pepasangan meter atau dengan melakukan penyambungan haram dan kejadian seumpama ini boleh mencetuskan pelbagai kejadian termasuk gangguan bekalan akibat beban lampau sehingga menyebabkan kebakaran.

Penyambungan haram atau pengusikan pada pepasangan meter telah mengakibatkan bacaan pada meter tidak lagi menunjukkan penggunaan elektrik sebenar, sekali gus mengganggu kestabilan bekalan elektrik kerana permintaan melebihi kapasiti sehingga menyebabkan aktiviti perniagaan dan keselesaan rakyat terjejas.

Penggunaan melampau mesin melombong mata wang kripto berkuasa tinggi 24 jam tanpa henti boleh menyebabkan litar pintas akibat penggunaan fius yang tidak mengikut piawai atau tidak menggunakan sebarang fius dan beban melebihi kapasiti kabel, berisiko menyebabkan kebakaran.

Justeru, kementerian mengingatkan mana-mana individu yang mencuri elektrik dengan melakukan usikan terhadap pepasangan TNB boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Selain itu, kata Takiyuddin, individu yang melakukan kesalahan tersebut juga boleh didakwa bagi kesalahan mencuri dan khianat di bawah Kanun Keseksaan.

Pihak polis juga akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat.

Dalam kes ini, kedua-dua pemilik premis dan individu yang menjalankan kegiatan tersebut boleh diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Kementerian pada masa yang sama, komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras kegiatan ini, termasuk mengetatkan peruntukan undang-undang dan memperkasa agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, lementerian bersama PDRM, ST, TNB serta PBT sentiasa melakukan pemantauan untuk mengesan premis-premis yang disyaki melakukan kecurian elektrik/penyambungan elektrik secara haram.

Orang awam yang mengesyaki atau mempunyai maklumat berkenaan kecurian elektrik untuk melombong mata wang kripto disarankan menghubungi ST, TNB di talian 15454 dan pihak PDRM supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Tindakan semua pihak bagi menangani masalah ini diharap dapat menjamin bekalan elektrik yang stabil demi keselesaan dan keperluan semua pengguna, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast