Abdullah Husin

JOHOR BAHRU – Pas akan menggerakkan lebih 15,000 ahli dari seluruh negara bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, pihaknya akan menggerakkan seramai 13,000 orang daripada 26 kawasan di negeri itu manakala, Pas Pusat dan juga Pas negeri lain akan menghantar kira-kira 1,500 ahli untuk membantu kempen.

“Pas akan turun berkempen bagi memastikan kemenangan calon-calon kami,” katanya ketika ditemui di pejabat Pas Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah anggota yang digerakkan kali ini adalah lebih tinggi berbanding pada PRN Melaka baru-baru ini.

Abdullah berkata, ahli Pas dipertanggungjawab mendekati pengundi muda.

“Memandangkan ini merupakan kali pertama individu berusia 18 hingga 20 tahun dibenarkan untuk mengundi, jadi kita telah merangka strategi untuk mendekati golongan berkenaan.

“Selain menggerakkan Jabatan Amal Malaysia (JAM), kita juga ada beberapa institusi lain yang akan turut berkempen melalui platform media sosial,” jelasnya. – MalaysiaGazette