Christopher Patit

MELAKA – Perebutan pelajar perempuan dipercayai menjadi punca seorang pelajar junior sebuah Sekolah Menengah Teknik di Melaka Tengah, di sini, dipukul seniornya di asrama sekolah terbabit, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian menimpa pelajar lelaki berusia 17 tahun itu disedari abangnya yang kemudian membuat laporan polis pada jam 5.15 petang semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, kejadian didakwa berlaku pada jam 2 pagi semalam apabila pelajar lelaki Tingkatan 4 itu dipanggil bertemu dengan seniornya, pelajar Tingkatan 5 di bilik asrama sekolah berkenaan.

“Setelah pengadu masuk ke dalam bilik, kira-kira 10 senior berkumpul mengelilingi pengadu dan bertanya kepadanya mengapa pengadu menipu mengenai masalah vape sebelum pengadu telah dipukul bertubi-tubi beramai-ramai oleh seniornya yang tidak berpuas hati dengan jawapan.

“Bagaimanapun, siasatan awal hari ini mendapati punca pergaduhan dipercayai berkaitan perebutan salah seorang pelajar perempuan yang diminati kedua-dua pelajar terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut beliau, susulan itu polis telah merakamkan percakapan semua pelajar terbabit termasuk lebih 10 pelajar senior yang didakwa memukul pengadu.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kita masih melakukan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette