tiga ahli akademik berjaya dalam kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7).-Foto UTeM.

MELAKA – Seramai tiga orang staf akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7) berkuatkuasa 22 Disember 2021.

Prof. Dr Azah Kamilah Deraman @ Muda, Prof. Dr Md Nizam Abd Rahman dan Prof. Ts Dr Effendi Mohamad dipilih berdasarkan pencapaian mereka daripada aspek pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, perundingan, penerbitan, sanjungan dan kepimpinan akademik serta sumbangan kepada universiti dan masyarakat.

Berikutan kenaikan pangkat tersebut, bilangan profesor di UTeM pada masa kini telah meningkat kepada 30 orang kesemuanya.

Ketua Pegawai Operasi UTeM, Masdzarif Mahat berharap mereka dapat membantu universiti meluaskan jaringan kebangsaan dan antarabangsa dalam kelompok kesepakaran dan mempunyai prestasi cemerlang sebagai pemimpin akademik dan pentadbiran akademik.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir Dr Ghazali Omar mengucapkan setinggi-tinggi tahniah diatas kenaikan pangkat ini dan berharap mereka dapat menjadi contoh kepada ahli akademik yang lain.

Tambah beliau, pada masa yang sama ia dapat membantu meningkatkan bilangan sarjana di UTeM serta produktiviti dalam bidang akademik terutamanya penulisan dan penyelidikan dalam bidang kepakarannya.

“Semoga dengan gred jawatan yang baharu ini memberikan lebih banyak peluang untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada UTeM yang merupakan universiti teknikal awam pertama di Malaysia dan juga buat komuniti amnya,” katanya lagi dalam kenyataan baru-baru ini.-MalaysiaGazette