Megat Zulkarnain melihat kerja mencuci motosikal anjuran YBR dan PRWC1 di Mentakab, Pahang, semalam.

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntuk kira-kira RM53,000 untuk program membaikpulih motosikal mangsa banjir yang rosak akibat bencana itu di Pahang.

Peruntukan itu diumumkan pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagi kira-kira 500 motosikal yang mengalami kerosakan dan diadakan dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Ceria 1 Malaysia (PRWC1).

Menurut beliau, bantuan peralatan dan teknikal itu diharapkan dapat meringankan beban kewangan mangsa banjir yang terkesan dengan kerosakan kenderaan itu yang digunakan untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

“Program ini kita adakan dengan kerjasama PRWC1 bagi menguruskan lokasi bengkel dan menyediakan keperluan teknikal untuk membaiki motosikal yang rosak, selain memudahkan proses pembaikpulihan.

“YBR amat simpati dengan mereka dan berharap program ini dapat meringankan bebanan ditanggung, sekali gus memudahkan mereka menjalani aktiviti harian mencari rezeki pada pasca banjir.

“Kita tahu ada banyak organisasi dan NGO lain turut memberi bantuan kepada mangsa banjir seperti makanan, minuman dan pakaian, tetapi YBR menggunakan pendekatan berbeza untuk turut sama membantu mereka,” katanya dalam satu program di Mentakab, Pahang semalam.

Turut hadir, Pengarah PRWC1, Mohd Fitri Mohamad Yusof; Ketua Bahagian Operasi (Menanggung Tugas Pengurus Besar) Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Jabatan Program, Mohd Mukhti Abd. Rahman.

Menurut Megat Zulkarnain, YBR juga turut menyediakan bantuan kepada mangsa yang terkesan banjir di Selangor iaitu Hulu Langat, Serdang dan Klang.

Katanya, YBR akan memperbanyakkan lagi program pendidikan dan komuniti membantu menaiktaraf pendidikan negara serta komuniti pada masa akan datang. – MalaysiaGazette