Datuk Seri Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu membaiki kerosakan bumbung di empat blokĀ  Pangsapuri Taman Melati di sini yang diterbangkan angin akibat ribut petang semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kejadian itu dikategorikan sebagai bencana dan DBKL akan menyediakan tempat tinggal sementara kepada mereka yang terjejas sementara proses membaik pulih dilakukan.

“Yang ini termasuk kategori bencana pembaikan yang mana ada diperuntukkan Perdana Menteri tempoh hari. Wilayah Persekutuan ini bencana kita hanya melibatkan tanah runtuh, banjir, jadi ribut ini turut termasuk bencana.

“Insya Allah kita akan perbaiki semua tempat mereka terjejas dan mereka yang tidak boleh duduk tempat berkenaan, Datuk Bandar akan mencari tempat duduk sementara untuk perbaiki rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan Tahun Baru Cina sebanyak RM40,000 kepada 200 golongan miskin di Wilayah Persekutuan di Pusat Komuniti Bandar Baru Sentul hari ini.

Bumbung terbang di empat blok di Pangsapuri Taman Melati, Gombak semalam.

Tambah Shahidan, DBKL bukan sahaja menempatkan sementara mangsa terjejas melibatkan 40 unit di kawasan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) malah turut menyediakan bantuan kepada mereka.

Beliau juga memaklumkan, kejadian bencana atau kebakaran yang berlaku di sekitar Wilayah Persekutuan sebelum ini juga telah diberi bantuan tempat perlindungan oleh pihak DBKL.

Semalam, tular di media sosial beberapa gambar kejadian pokok tumbang dan bumbung terbang di Gombak susulan hujan lebat.

Kira-kira tiga pokok tumbang menutup Jalan di Batu 8, Sungai Pusu dan bumbung terbang dilaporkan berlaku di Blok A Flat Taman Melati dalam kejadian hujan lebat bermula pukul 3 petang itu. – MalaysiaGazette