Temubual bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ketika di Restoran Rebung, Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 14 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mengakui rakyat Malaysia sememangnya mempunyai masalah kegemukan berpunca daripada pengambilan makanan secara berlebihan serta kurang berkhasiat.

“Malaysia memang negara kuat makan, sebab makanan kita sedap dan kurang berkhasiat dengan kari, gulai, santan berlebihan.

“Satu lagi faktor apabila sudah berkahwin, kebanyakan daripada kita berhenti bersenam dan tidak lagi menjaga badan, lebih-lebih lagi kalau anak ramai,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.

Pada masa sama, Sheikh Muszaphar berpendapat golongan lelaki sebenarnya menjadi penyumbang terbesar kepada masalah kegemukan di Malaysia.

“Berapalah agaknya golongan lelaki yang gemuk di Malaysia. Saya yakin lebih ramai daripada wanita,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk menjaga kesihatan diri dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Semalam, media melaporkan kira-kira 11.5 juta individu dewasa negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan dan daripada jumlah itu, 6.9 juta individu dewasa itu melibatkan golongan wanita yang mengalami masalah obesiti terutama mereka berusia dalam lingkungan umur 30-an hingga 40-an. – MalaysiaGazette