Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas memberi keterangan berkaitan Penyerahan Memorandum Darurat Banjir dan Krisis Iklim di Parlimen pada Khamis lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengadakan mesyuarat pada malam ini untuk membuat ketetapan mengenai jalinan kerjasama dengan parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan mesyuarat peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Mudayang akan diadakan di ibu pejabat Muda itu bakal diumumkan dalam masa terdekat menerusi kenyataan media.

“Berkenaan strategi dan gabungan kerjasama (dengan parti pembangkang), Muda akan berbincang secara dalaman di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti kami,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas selesai memberi keterangan kepada polis bersama Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya berkaitan isu Penyerahan Memorandum Darurat Banjir dan Krisis Iklim di Parlimen pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Muar itu hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi dbersama peguamnya pada jam 2 petang.

Baru-baru ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa semua parti pembangkang termasuk Muda bersatu untuk memenangi PRN Johor.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRN Johor, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dibincang dan ditentukan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi Muda.

“Takdir saya dan parti adalah terikat bersama.

“Ini bukan parti Syed Saddiq. Ini adalah parti untuk semua warga Malaysia dan kepimpinan Muda akan membincangkan bersama dan tampil dengan keputusan terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette