Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad

PUTRAJAYA – Keputusan Pas bertanding solo atau bersama parti lain pada Pilihan Raya Negeri Johor perlu ditunggu pada hari penamaan calon.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad juga tidak menolak akan mengadakan perbincangan dengan parti lain berhubung kerjasama dalam PRN itu.

Namun beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, parti itu tidak perlu terburu-buru kerana tempoh PRN masih jauh lagi.

“Tunggu penamaan calon nanti, Pas solo atau bersama. Insya-Allah (perbincangan) kerana lambat lagi PRN.

“Kita mesti bersatu di kalangan semua parti-parti orang Islam di negara.

“Dan Pas tetap bercakap tentang penyatuan kepada orang Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Korporat Zakat 2022 Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Idris diminta mengulas hasrat Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding secara solo pada PRN Johor dan yakin mampu memperoleh kemenangan dua pertiga majoriti.

Malah gabungan parti politik itu yakin tidak perlu menjalin kerjasama dengan parti lain dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, gabungan parti politik itu akan bertanding di semua 56 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.