Anggota polis memeriksa senjata berhampiran tempat kejadian di Universiti Heidelberg . foto EPA

BERLIN – Seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan membunuh seorang wanita dan mencederakan tiga yang lain di dalam dewan kuliah di Universiti Heidelberg di barat daya Jerman.

Suspek, seorang pelajar berusia 18 tahun kemudian menembak mati dirinya sendiri.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.24 tengah hari semasa dewan kuliah itu dihadiri 30 orang pelajar.

Polis Jerman berkata, suspek yang memiliki dua senjata, telah menggunakan pistol panjang dan melepaskan tembakan di sekeliling amfiteater secara rambang.

Mangsa yang meninggal dunia itu berusia 23 tahun, ditembak dikepala. Dia disahkan meninggal dunia di hospital.

Pertumpahan darah itu mencetuskan operasi besar-besaran di kampus universiti di kawasan Feld Neuenheimer.

Polis meminta orang ramai mengelak daripada melalui kawasan itu supaya para penyelamat dan perkhidmatan kecemasan boleh bergerak dengan bebas.

Polis telah menggeledah flat suspek di bandar Mannheim dan menemui mesej WhatsApp yang dihantarnya tidak lama sebelum itu, yang mana dia bercakap tentang menghukum orang.

Dalam mesej itu, suspek berkata “orang harus dihukum” dan dia mahu dikebumikan di laut dan bukannya di tanah perkuburan, menurut polis.

Dia tidak mempunyai lesen senjata api dan dipercayai telah membeli senapang itu di luar Jerman. – CNN (https://edition.cnn.com/2022/01/24/europe/germany-shooting-heidelberg-intl/index.html)