Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU –  Dianggarkan antara 10,000 sehingga 11,000 pegawai dan anggota polis akan digerakkan untuk memantau kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah keanggotaan itu membabitkan polis Kontinjen Johor dan Bukit Aman.

“Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman juga telah berbincang dan  sudah siap sedia untuk memberi bantuan bagi memastikan proses PRN berjalan lancar dan orang ramai boleh keluar mengundi dengan aman,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan polis Johor dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara berhubung pelaksanaan PRN.

“Secara terperinci kita juga perlu tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya nanti dan macam mana cara kerjasama.

”Selain itu kita juga masih menunggu SOP untuk kerah anggota dan pegawai bagi memantau keadaan sepanjang PRN berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menubuhkan pasukan khas yang terdiri daripada pegawai teknologi maklumat untuk memantau media sosial sepanjang PRN.

“Kita tubuh pasukan khas  ini untuk pantau kalau ada fakta tidak betul dan pasukan ini kita akan pastikan semua maklumat benar dan tepat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette