Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penyedia perkhidmatan kandungan komunikasi, Lim Eng Hoong hadir mahkamah untuk didakwa atas 26 pertuduhan memberi suapan kepada seorang pegawai perkhidmatan syarikat telekomunikasi berjumlah RM90,000 antara 2014 hingga 2016 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penyedia perkhidmatan kandungan komunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 26 pertuduhan memberi suapan kepada seorang pegawai perkhidmatan syarikat telekomunikasi berjumlah RM85,000 antara 2014 hingga 2016.

Tertuduh, Lim Eng Hoong, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 26 pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Eng Hoong dari 3 Disember 2014 hingga 1 September 2016 di HSBC Amanah Cawangan Wangsa Maju di sini secara rasuah telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM90,000 kepada seorang pegawai perkhidmatan syarikat telekomunikasi.

Ia sebagai upah dan balasan kerana memberi maklumat aduan pelanggan syarikat telekomunikasi bagi syarikat Elite Entertainment Sdn Bhd daripada portal sistem perkhidmatan pengurusan pelanggan syarikat telekomunikasi terbabit.

Pertuduhan terhadap Eng Hoong dibuat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Asri Abd Rahman Sidik menawarkan jaminan RM40,000 bagi kesemua 26 pertuduhan dengan seorang penjamin, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah agar tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mendekati dan mengganggu saksi utama pendakwaan kes terbabit.

Peguam Emily Shirlay bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM10,000 memandangkan pendapatan anak guamnya terjejas sejak musim pandemik Covid-19, selain perlu menanggung seorang isteri, tiga anak dan kedua ibu bapa yang uzur.

Selepas mempertimbangkan permohonan pendakwaraya dan pembelaan, Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan disenaraihitamkan untuk keluar negara.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Kuala Lumpur dan tidak dibenarkan melakukan kacau ganggu terhadap saksi utama kes dalam apa juga bentuk termasuk teks mesej telefon, melalui ejen, panggilan telefon dan ganggu secara fizikal.

Mahkamah juga menetapkan 23 Februari ini bagi tarikh sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette