A. A. Anbalagan Serdang Seri Kembangan murder hacked body man
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 494 karton minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM32,000 dirampas dalam serbuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong dekat sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, serbuan sekitar pukul 5 petang itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Menurutnya, seorang pembantu stor warga Bangladesh berusia 29 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Sebanyak 494 karton yang terdiri daripada 11,376 tin dan 600 botol minuman keras dari pelbagai jenama berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.

“Dianggarkan rampasan ini berjumlah RM32,000 dengan taksiran cukai sebanyak RM145,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anbalagan, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan sebuah kilang sebagai stor simpanan minuman keras yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar kawasan Lembah Klang.

Selain itu, katanya, antara barangan lain yang turut dirampas adalah sebuah lori jenis Isuzu serta sebuah telefon bimbit.

“Stor simpanan ini dipercayai aktif kira-kira lima hingga enam bulan yang lalu melibatkan daerah Serdang dan kawasan Lembah Klang,” ujarnya.

Anbalagan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 serta siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette