Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

JOHOR BAHRU – Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka memberi kesan positif kepada kempen Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, tanpa menjadi calon membolehkan Muhyiddin tidak perlu berkempen hanya untuk satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sahaja.

“Jika Tan Sri (Muhyiddin Yassin) tidak bertanding dalam PRN Johor sebenarnya satu kelebihan kerana beliau akan mempunyai banyak masa untuk perkukuh peluang PN.

“Saya yakin dengan kepimpinan dan pengalaman Tan Sri menghadapi pelbagai pilihan raya sebelum ini, kita akan mampu beroleh kemenangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan  tidak akan mempertahankan kerusi DUN Gambir dalam PRN Johor dan akan menyerahkannya kepada tokoh lain.

Sementara itu, Mohd. Solihan memberitahu, kepimpinan pusat telah membuat keputusan agar kerusi DUN Bukit Gambir diserahkan calon daripada Bersatu Bahagian Ledang.

“Kami sudah mempunyai calon yang bersesuaian dan diterima ahli akar umbi dan juga penduduk setempat di Bukit Gambir.

“Kami percaya calon berkenaan akan dapat menyambung khidmat yang dibuat Tan Sri selain turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat,” katanya.- MalaysiaGazette