Zulkarnain (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli keluarga kakitangan Kemas di Klang semalam.

KLANG – Selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk pelajar dan mangsa banjir di Mentakab, Pahang, Yayasan Bank Rakyat (YBR) turut memberi sumbangan sama kepada keluarga kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di daerah ini dan Shah Alam.

Dalam program itu, seramai 221 keluarga kakitangan Kemas yang terkesan akibat banjir Disember lalu, menerima sumbangan sebanyak RM200 yang disampaikan Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menurut beliau, bagi program itu, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM44,200 bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan yang menanggung kerugian akibat bencana banjir.

Katanya, sehingga kini YBR telah memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi membantu 500 keluarga di Hulu Langat, Serdang dan beberapa kawasan di Selangor.

“Kita adakan program ini dengan kerjasama Kelab Kebajikan Sukan Kemas Daerah Klang, yang bertanggungjawab mengenalpasti keluarga terjejas teruk akibat banjir.

YBR amat simpati dengan mereka dan berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung,” katanya kepada media.

Sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Yasid Bidin.

Turut hadir, Pengarah Kemas Selangor, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan; Ketua Bahagian Operasi (Menanggung Tugas Pengurus Besar) YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti & Penjenamaan Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Zulkarnain, tahun ini YBR memperuntukkan kira-kira RM500,000 sebagai sumbangan membantu rakyat kurang bernasib baik, di samping untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi mereka melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. – MalaysiaGazette