Beginilah keadaan bumbung parkir sebuah pasar raya akibat ribut dan hujan lebat di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Susulan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini, beberapa kawasan di Sekysen 13 di sini antara yang menerima kesannya.

Kesan cuaca tidak menentu itu dikongsikan beberapa pengguna laman sosial Facebook petang ini dengan menunjukkan berlaku hujan lebat dan angin kencang hingga menyebabkan parkir kenderaan sebuah pasar raya runtuh.

Malah insiden itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis menerusi grup WhatsApp petang ini.

“Di Giant, bumbung parkir diterbangkan angin, tiada mangsa kehilangan nyawa dan cedera. Sebanyak lapan kenderaan terlibat,” katanya secara ringkas menerusi grup WhatsApp hari ini.

Dalam kejadian berasingan, dua kereta mengalami kerosakan akibat dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Jalan Subang di sini petang tadi.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kota Anggerik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang tadi.

“Tiada mangsa tersepit dan berjaya keluarkan diri sebelum ketibaan pihak bomba.

“Bagi memastikan tiada mangsa tersepit, pihak bomba memotong pokok tumbang terbabit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette