Penduduk Taman Sri Muda menyelamatkan motosikalnya yang telah ditengelami air banjir berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penggunaan siren amaran bahaya banjir disifatkan kurang praktikal untuk memberitahu penduduk di kawasan yang bakal terjejas dengan bencana itu kerana kesannya tidak menyeluruh.

Ia berbanding dengan pemberitahun menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang boleh memaklumkan secara pantas jika sesuatu kawasan bakal dilanda air bah, kata Pengerusi Persatuan Usahawan Rekacipta Malaysia (PURIM), Norshahrizal Nordin.

Menurutnya, tidak dinafikan keperluan penggunaan siren sebagai tanda amaran terhadap kejadian banjir, namun disebabkan beberapa faktor kaedah pemberitahuan mengenai perkara itu perlu ditambah baik.

“Siren ini memang bagus yang sebenarnya memang kita tak nafikan…tetapi masalahnya bila berlaku pada waktu malam dan ketika hujan lebat bunyi hujan itu mengatasi kebisingan dan rumah orang sekarang ini kebanyakan guna aircond (penghawa dingin).

“Dan bila guna aircond ia akan jadi kedap bunyi…siren itu bila hujan dan ditambah dengan bunyi ribut dan angin yang kuat memang tak dengarlah. Jadi, kita perlukan sistem SMS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Mengulas lanjut, Norshahrizal berkata, kajian penggunaan sistem amaran menggunakan SMS telah dibuat bersama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebelum ini dan terbukti keberkesanannya.

Bagaimanapun kata beliau, apabila dicadangkan ia seolah-olah kurang diterima.

Tambahnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini cuba mengadaptasikan penggunaan sistem SMS tersebut namun, hebahan itu hanya secara umum tanpa menyertakan maklumat dan perincian terhadap kedudukan bencana alam yang akan berlaku di sesuatu kawasan.

“Pada pandangan saya kalau diberitahu kadar kenaikan air banjir ini orang sendiri boleh buat penilaian terhadap situasi yang akan dialami.

“Terpulanglah kepada mereka nak duduk atau tinggalkan kediaman mereka selepas dapat maklumat yang tepat,” ujarnya.

Sementara itu, Nadzim memberitahu, kerajaan sudah pun membuat banyak projek tebatan banjir, mendalamkan sungai, membesarkan parit, sistem amaran banjir dan bermacam-macam lagi projek saban tahun tetapi masalah banjir masih tidak selesai.

Justeru katanya, selepas mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan dengan pihak PURIM, satu memorandum untuk mengesyorkan langkah mengatasi masalah banjir akan dihantar kepada Perdana Menteri di Perdana Putra, petang ini.

Katanya, menerusi cadangan itu kerajaan diminta supaya mempertimbangkan cadangan dan saranan yang diberikan agar masalah banjir dapat di selesaikan dengan kaedah baru dan dengan cara yang lebih inovatif serta efektif demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast