Lawatan khas ahli keluarga kepada penghuni semoa sambutan Hari Krismas ditetapkan bermila 26 hingga 31 Disember dan dihadkan kepada dua ahli keluarga sahaja yang lengkap bervaksin.

KUALA LUMPUR – Keluarga dan penjaga kepada penghuni penjara dibenarkan untuk membuat lawatan perjumpaan sempena sambutan Tahun Baru Cina bermula 3 hingga 7 Februari ini.

Perjumpaan boleh diadakan melalui dua pilihan iaitu secara
bersemuka (Intercom) untuk pelawat yang lengkap divaksin atau panggilan video dalam tempoh lima hari itu.

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, seorang penghuni penjara dibenarkan menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga.

Katanya lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat temujanji dan terdapat tiga kaedah tempahan untuk temujanji iaitu melalui sistem i-Visit di laman sesawang  www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, masa perjumpaan dihadkan tidak lebih 30 minit dan ia bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

Menurutnya, hanya dua orang pelawat dibenarkan dalam kalangan keluarga yang telah ditetapkan oleh pihak penjara untuk melawat penghuni penjara.

Bagi pelawat warga emas yang berumur lebih 60 tahun, kebenaran yang diberi adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala, ujarnya.

Menurut kenyataan itu, pelawat wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang telah ditetapkan semasa perjumpaan.

“Kebenaran perjumpaan secara video call sahaja adalah terpakai bagi penjara sekiranya negeri atau tempat berkaitan berada di luar PPN Fasa 4 semasa tarikh lawatan ini berkuatkuasa,” jelasnya.

Katanya, perjumpaan Secara Bersemuka (Pusat Reintegrasi Penjara dan Sekolah Henry Gurney) perlu mematuhi Panduan Lawatan Perjumpaan Banduan/ Tahanan/ Penghuni Norma Baharu.

Bagi mendapat maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman sesawang Jabatan Penjara Malaysia di alamat  www.prison.gov.my. – MalaysiaGazette