Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor perlu mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat pemeriksaan terperinci di semua kawasan berisiko tinggi berikutan kajadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan pada Selasa lalu.

Ketua Penyelaras, Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, walaupun pihak berkuasa akan menjalankan satu kajian ke atas kawasan-kawasan di sekeliling tempat kejadian, namun ia tidak memadai.

“Demi keselamatan rakyat, kajian perlu dilakukan di seluruh Selangor agar kejadian di Seri Kembangan itu berulang di tempat-tempat lain.

“Kita bernasib baik kerana tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa di Seri Kembangan tetapi kita mungkin tidak akan bernasib baik pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Selasa lalu, lima kenderaan rosak akibat kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan dalam satu kejadian kira-kira 6.30 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam berkata, tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, terdapat banyak kawasan berisiko tinggi di Selangor yang pernah berlaku mendapan atau runtuhan tanah runtuh yang memerlukan pemeriksaan segera di samping pemantauan berterusan.

“Kerajaan negeri juga perlu tegas di dalam mengawal pembangunan di kawasan berisiko ini untuk menjamin keselamatan rakyat.

“Pemaju-pemaju perlu diwajibkan memaklumkan pembeli-pembeli rumah akan risiko menetap di kawasan-kawasan tersebut.

“Kita tidak mahu pembeli-pembeli rumah merasa tertipu apabila timbul masalah setelah mereka membeli kediaman mereka,” katanya. – MalaysiaGazette