Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd susut kepada RM355.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021, turun 6.0 peratus daripada RM377.74 juta setahun lalu.

Perolehan hasil Bursa Malaysia merosot kepada RM767.54 juta daripada RM798.97 juta.

“Ia disebabkan oleh perolehan hasil lebih rendah sebanyak RM751.63 juta pada Tahun Kewangan 2021 berbanding RM778.81 juta pada Tahun Kewangan 2020, penurunan sebanyak 3.5 peratus,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Jumlah perbelanjaan operasi pada Tahun Kewangan 2021 adalah lebih rendah sebanyak 1.1 peratus kepada RM288.6 juta berbanding RM291.8 juta dicatatkan pada Tahun Kewangan 2020.

Ia juga mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 17 sen sesaham berjumlah kira-kira RM137.6 juta, menjadikan jumlah pembayaran dividen untuk Tahun Kewangan 2021 kepada 41 sen sesaham termasuk dividen interim sebanyak 24 sen yang dibayar pada Ogos 2021.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih Bursa Malaysia adalah lebih rendah kepada RM64.95 juta daripada RM104.85 juta setahun lepas. Hasil susut kepada RM165.18 juta daripada RM230.70 sebelumnya.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Bursa Malaysia menunjukkan daya tahan yang hebat dan menunjukkan prestasi baik sepanjang tahun walaupun Tahun Kewangan 2021 terbukti sebagai tahun yang mencabar di peringkat global.

“Kami terus menyaksikan dagangan aktif untuk pasaran sekuriti di Bursa Malaysia pada purata nilai dagangan harian sebanyak RM3.5 bilion.

“Selain itu, kami merekodkan 30 tawaran awam permulaan (IPO) pada Tahun Kewanagan 2021 berbanding hanya 19 IPO pada Tahun Kewangan 2020 yang mengumpul RM2.7 bilion,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata angka itu adalah bukti bahawa syarikat dan pelabur yakin dengan pasaran modal Malaysia dan Bursa Malaysia sebagai platform untuk mengumpul dana dan keperluan pelaburan mereka.

Bagi Tahun Kewangan 2021, pasaran sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM442.9 juta berbanding RM498.9 juta pada Tahun Kewangan 2020, merosot sebanyak 11.2 peratus disebabkan oleh purata nilai dagangan harian lebih rendah untuk urus niaga dalam pasaran dan urus niaga perniagaan langsung.

Hasil dagangan Pasaran Derivatif berkurangan sebanyak 4.1 peratus kepada RM87.3 juta pada Tahun Kewangan 2021 daripada RM91.1 juta direkodkan pada Tahun Kewangan 2020 walaupun mencatat rekod tertinggi sebanyak 18.4 juta jumlah kontrak yang diniagakan tahun lepas, melepasi paras tertinggi sebelumnya sebanyak 18.2 juta jumlah kontrak yang didaftarkan pada tahun 2020.

Hasil data pasaran pula meningkat 12.2 peratus kepada RM54.0 juta pada Tahun Kewangan 2021 daripada RM48.1 juta pada Tahun Kewangan 2020 disumbangkan oleh bilangan pelanggan yang lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata pasaran sekuriti terus menunjukkan pertumbuhan jangka panjang dan menyediakan peluang pelaburan yang menarik.

“Bagi pasaran derivatif, kami akan meneroka produk baharu sambil merombak produk sedia ada bagi memenuhi keperluan peserta pasaran yang semakin berkembang di samping meningkatkan daya tarikannya kepada pemain global,” katanya.

Beliau berkata Bursa Malaysia juga akan meneruskan usaha untuk mengembangkan pasaran modal Islam dengan membangunkan produk dan perkhidmatan patuh Shariah baharu sambil meneroka pengembangan produk merentasi rantaian nilai penyelesaian pengurusan kekayaan Islam. – MalaysiaGazette