KUANG – Datuk kepada Daniel Iskandar Mohd. Nasir, Rosli Sidek mengakui melihat perubahan besar dalam diri cucunya sekarang berbanding sebelum terlibat dalam kejadian cubaan mencuri tabung masjid awal bulan ini.

Rosli, 65, memberitahu, Daniel Iskandar juga datang bertemunya untuk memohon kemaafan atas apa yang berlaku.

“Saya bagi pihak cucu saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini sehingga ia berjaya mencapai kata sepakat untuk bermaafan antara satu sama lain.

“Cucu saya juga ada berjumpa dengan saya dan bersungguh-sungguh memohon kemaafan selain tidak mahu mengulangi kesilapan sama.

“Saya sendiri telah memaafkan dia dan nampak perubahannya yang cukup insaf dengan tingkah lakunya sebelum ini,” katanya.

Datuk kepada Danial Iskandar, Rosli Sidek bercakap kepada media selepas semua pihak yang terlibat dalam kes memandikan Daniel Iskandar seperti jenazah mengambil keputusan untuk berdamai dan menyelesaikan perkara tersebut secara baik di Masjid Al-Islahiah Kuang, Rawang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selesai pertemuan antara Daniel Iskandar, Ahli Jawatankuasa masjid serta pelbagai pihak di Masjid Al Islahiah, Kuang di sini hari ini.

Rosli menambah, sikap negatif cucunya sebelum ini mungkin kerana faktor salah memilih rakan sehingga sanggup melakukan perkara di luar jangkaan.

“Saya tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak namun berkemungkinan dia tersalah pilih rakan untuk bergaul. Namun semuanya sudah berakhir, tidak perlu untuk mengungkit kisah lama dan jadikan perkara ini sebagai pengajaran,” katanya.

Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, sebanyak tiga musibah berlaku sehingga awal tahun ini membabitkan ahli keluarganya.

“Tiga musibah yang berlaku tersebut membabitkan kematian abang ipar dan isteri pada tahun lalu yang berlaku selang dua minggu sebelum kejadian membabitkan Daniel pula berlaku.

“Saya tabah menghadapi dugaan ini dan berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan termasuk mengungkit kisah membabitkan Daniel,” jelasnya.

Sementara itu, Daniel Iskandar buat masa ini masih di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ditempatkan di sebuah pusat jagaan untuk proses pemulihan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu ‘mandi jenazah’ selesai, AJK masjid dan Daniel bermaafan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast