Sebuah van sekuriti terbalik selepas bertembung dengan sebuah kereta dalam insiden di Kilometer 84, Jalan Lipis-Merapoh jam 2.30 petang semalam

KUANTAN – Tiga wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van sekuriti dan sebuah buah kereta di Kilometer 84, Jalan Lipis-Merapoh, Lipis dalam kejadian 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, insiden berlaku apabila pemandu kereta dirempuh van dari arah bertentangan selepas mengelak daripada terlanggar motosikal.

Dua daripada mangsa maut ditempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Lipis.

“Hasil siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu oleh mangsa bersama empat orang penumpang bergerak dari arah Merapoh menghala ke Lipis.

“Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba datang sebuah motosikal keluar simpang dari sebuah rumah di bahu jalan menghala ke Lipis,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Azli, pemandu kereta telah mengelak motosikal tersebut dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri, malangnya pemandu kereta telah hilang kawalan lalu berpusing masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh van.

“Tiga yang maut disebabkan kecederaan parah di kepala dan proses bedah siasat dilakukan selepas ujian calitan Covid-19 dilakukan.

“Manakala kedua-dua  pemandu kenderaan mengalami cedera ringan dan dua penumpang van  mengalami cedera parah di kaki,” katanya.

Kes masih dalam siasatan dan disiasa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette