Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa semua pihak memberikan tekanan kepada proksi Israel iaitu Amerika Syarikat (AS) agar dapat menghentikan pencerobohan.

Pencerobohan itu dilakukan di Sheikh Jarrah dan kawasan penempatan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza. 

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Israel melanggar gencatan senjata dan masih lagi menceroboh penempatan di Sheikh Jarrah.

Jelasnya, AS serta Israel sepatutnya mematuhi undang-undang antarabangsa serta prinsip-prinsip hak kemanusiaan sedia ada malah menjangkakan kezaliman itu akan berterusan.

“Jika tidak melakukan sesuatu untuk membantu warga Palestin, dijangka kezaliman berterusan dilakukan Israel yang pada hakikatnya merancang sejak sebelum penubuhan negara haram Israel lagi untuk merampas semua wilayah Palestin termasuk Tebing Barat dan Gaza. 

“Golongan ini tidak akan berhenti daripada usaha tersebut sehingga rancangan mereka berjaya. Namun, malang bagi mereka kerana semangat warga Palestin untuk mempertahankan hak mereka dan membebaskan negara mereka daripada penjajahan Israel masih tidak luntur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut mengikut undang-undang antarabangsa, Israel sepatutnya berundur dari Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur, namun enggan berbuat demikian kerana rancangan sebenar mereka adalah untuk merampas kesemua tanah di Tebing Barat. 

Tambah Hishamuddin, kerajaan Israel telah membenarkan ratusan penempatan baharu Yahudi dibangunkan di Tebing Barat dan membantu dalam pemindahan ribuan rakyat Yahudi ke sana termasuk ke kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.

“Mereka berikan alasan kesemua kawasan tersebut adalah hak milik Yahudi sejak ribuan tahun lalu berdasarkan ajaran di dalam kitab mereka.

“Malang bagi mereka kerana semangat warga Palestin untuk mempertahankan hak mereka dan membebaskan negara mereka daripada penjajahan Israel masih tidak luntur walaupun ribuan daripada mereka telah terkorban dan ribuan yang lain sedang dipenjarakan. 

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu mereka yang dizalimi atas dasar kemanusian,” katanya.

Menurutnya, MHO sebagai pertubuhan yang komited memperjuangkan hak-hak kemanusian mengambil kesempatan ini untuk menggesa dan terus memberikan tekanan kepada semua termasuklah proksi, sekutu kuat kepada Israel agar pencerobohan itu dapat dihentikan. – MalaysiaGazette