Shahrir Hamdan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Anggota Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mohktar Senik yang menyifatkan UMNO sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian boleh menyempitkan ruang kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, kenyataan ulama kanan Pas itu seolah-olah datang daripada parti lawan dan bukannya kawan kepada UMNO.

Beliau menegaskan, kenyataan Mokhtar itu amat tidak manis kerana memperlekeh kemampuan UMNO.

“Dalam soal PRN Johor, kepimpinan tertinggi UMNO di negeri dan pusat – pengerusi perhubungan mahupun timbalan presiden hari ini – menyebut bahawa parti akan mengkaji dan memuktamadkan sebarang keputusan sama ada bekerjasama dengan parti lain atau tidak untuk PRN.

“Namun, jangan salahkan UMNO jika kenyataan seperti Ustaz Mokhtar ini menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan,” kata Shahrir.

Mohktar dalam kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah portal mendakwa, keghairahan UMNO untuk berkuasa memuncak selepas berjaya menukar perdana menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kemenangan besar UMNO dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka.

Kini, menurut Mohktar, kegairahan itu digerakkan pula dengan percubaan UMNO untuk menguasai Johor dengan mengetepikan Pas.

Shahrir menegaskan, jika Mohktar ingin memberikan pandangan seharusnya dibuat secara berhemah dan tidak mengajar UMNO apa yang boleh buat atau tidak boleh buat.

Katanya, UMNO adalah parti yang akan membuat keputusan sendiri dan tidak akan tunduk kepada tekanan parti luar.

“Sebelum sesuatu pilihan raya berlangsung ustaz Mokhtar tidak mahu UMNO dapat pembahagian kerusi yang memungkinkan ia selepas pilihan raya membentuk Kerajaan tanpa parti lain.

“Maka bolehkah beliau juga minta Pas Terengganu dan Kelantan tidak bertanding sejumlah kerusi supaya sebelum masuk gelanggang pun sudah pasti tidak boleh menang majoriti dengan sendiri? Sudah tentu tidak.

“Kerana Pas juga parti politik yang ada cita-cita dan aspirasi. Itu hak Pas. UMNO tak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain, malah mengiktirafnya,” kata Shahrir.

Mokhtar dalam kenyataannya di Facebook, turut mendakwa UMNO bagaikan kacang lupakan kulit apabila mengabaikan hakikat kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil sebelum ini adalah hasil sokongan Pas.

“UMNO sudah lupa sama sekali dengan kemenangan-kemenangan yang mereka perolehi dalam pilihan raya kecil sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan Pas.

“Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain sebuah kekalahan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sudah terang lagi bersuluh…..seperti melepaskan ANJING TERSEPIT gamaknya….sanggup melihat darah kembali di parut….melempiaskan IKATAN UKHWAH

Comments are closed.