Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan tidak lama lagi masih menjadi teka-teki dalam pembahagian kerusi antara-antara parti-parti politik.

Desas-desus Pas hanya ditawarkan empat kerusi oleh Barisan Nasional (BN) mendapat respons daripada Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kita ada dengar khabar angin, belum ada rundingan. Mereka (UMNO) nak beri kita empat kerusi, di Melaka dulu dua kerusi.

“Takkan kita minta sedekah kerusi-kerusi ini?

“Pas tak akan minta sedekah, Pas ada kekuatan sendiri,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas PRN Johor yang akan diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Januari lalu.

“PRN ini diadakan oleh kluster mahkamah, kluster yang kalah pada pilihan raya yang lalu (Pilihan Raya Umum ke-14) dan kluster yang tidak berjawatan dalam kerajaan.

“Kluster mahkamah ni masih belum lagi disabitkan bersalah, kalau ada maruah lawan sahaja di mahkamah, jangan susahkan rakyat dengan PRN ini.

“Nak selamatkan diri, susahkan rakyat. Bagi yang kalah pilihan raya, tunggulah , kena sabar tunggulah pilihan raya,” katanya.

Jelasnya, jumlah yang tidak bersetuju dengan tindakan UMNO masih besar.

“Pas ada kekuatan sendiri, tak perlulah buat pilihan raya negeri ini lagi.

“Pas ada 197 kawasan daripada 222 Parlimen dengan keahlian kita sejuta dan 800,000 yang aktif. Buktinya adalah banjir-banjir negeri yang kita turun bantu, jentera kita turun ke kawasan seperti Selango, Pahang dan semua kawasan.

“Mana rumah yang tak ada, kita baiki rumah, dalam satu malam siap dan banyak lagi kita lakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah Pas kecewa dengan tindakan UMNO, Abdul Hadi mengakui sebahagian pemimpin UMNO telah melukakan hati Pas.

“Sebahagian seperti kluster mahkamah dan kluster yang saya sebutkan tadi.

“Mereka inilah yang memainkan politik tidak sihat. Selepas Johor, mana pula mereka nak buat PRN ni, Perak?

“Selepas satu- satu negeri mereka nak adakan PRN. Bukankah rakyat letih, takkan satu-satu negeri nak buat?,” katanya lagi.

Abdul Hadi juga berkata, rundingan bersama BN masih berjalan bagi penyelesaian PRN Johor ini.  -MalaysiaGazette