ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Polis Kuantan menggesa orang ramai menghantar borang Maklumat Balik Kampung ke pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum meninggalkan rumah untuk bercuti.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia bagi mengurangkan kejadian pecah rumah terutamanya menjelang musim cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina.

“Orang ramai boleh menghantar borang atau memaklumkan kepada Balai Polis berhampiran dengan mengisi maklumat kediaman.

“Ini bagi memastikan pemantauan dijalankan oleh pihak peronda dan mencegah aktiviti jenayah berluasa.

“Pihak polis ambil tindakan setiap makluman oleh pemilik kediaman dan ia berkesan apabila kadar jenayah pecah rumah berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat dan program Polis bersama Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.

Sempena pelancaran Op Selamat,  Wan Mohd Zahari turut mengedarkan risalah kempen Pencegahan Jenayah Dan borang Maklumat Balik Kampung kepada para pengunjung pasar pagi.

Bilik Kawalan IPD Kuantan boleh dihubungi di talian 0144002089 atau 095142999.

Hebahan dan borang maklumat balik kampung juga boleh dimuaturun di laman Facebook Polis Kuantan dan laman sesawang www.rmp.gov.my.- MalaysiaGazette