Polis berada di luar rumah suspek. foto Getty Images

TOKYO – Polis telah menahan seorang lelaki di Jepun yang dikepung selama 11 jam selepas dia menyerang tiga pekerja perubatan yang melawat rumahnya dan menembak maut seorang daripada mereka.

Hiroshi Watanabe, 66, menghadapi tuduhan membunuh dalam kejadian yang berlaku di Fujimino, di utara Tokyo, Khamis lalu.

Seorang doktor terkenal, Junichi Suzuki, 44, ditembak selepas ditahan sebagai tebusan, kata polis.

Suzuki kemudiannya meninggal dunia di hospital.

Jenayah senjata api yang tragis ini jarang berlaku di Jepun kerana senjata api dikawal dengan ketat.

Setakat ini motif kejadian itu masih disiasat.

Media Jepun melaporkan pasukan perubatan telah menjadi penjaga ibu suspek, yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

Kumpulan petugas perubatan itu telah menziarah lelaki berkenaan pada malam Khamis atas permintaannya, lapor The Japan Times.

Polis mula-mula dimaklumkan kira-kira 11 malam waktu tempatan (12:00 GMT) selepas jiran melaporkan tentang kejadian tembakan dan mendapati seorang lelaki berdarah akibat luka di dada dan perut di luar rumah.

Lelaki berusia 41 tahun itu, seorang jururawat, dibawa ke hospital dan masih dalam keadaan kritikal, kata polis.

Seorang lagi lelaki, 32, telah berjaya melarikan diri dari rumah ke balai polis, lapor media.

Polis telah berunding dengan lelaki bersenjata itu sepanjang malam melalui telefon tetapi dia enggan bekerjasama, lapor media tempatan.

Pada pagi Jumaat, setelah mengepung rumah lelaki itu dan memindahkan kira-kira 110 penduduk di kawasan kejiranan dan menutup sekolah berhampiran, polis menyerbu rumah tersebut lalu menahan suspek. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-asia-60167643)