Ir. Khairil Nizam Khirudin
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Parti Pas belum melakukan apa-apa rundingan politik dengan mana-mana parti politik Melayu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah, sehingga saat ini, parti masih lagi meneliti dengan terperinci dan menyeluruh laporan yang diberikan oleh Pas Negeri Johor.

Pas juga sedang mengumpul data dan menganalisa landskap politik di Johor berdasarkan kepada kajian-kajian empirikal oleh para pengkaji politik yang diiktiraf, kata Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin.

Justeru, menurut beliau, mana-mana dakwaan liar yang menyatakan Pas telah menolak tawaran untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak dalam PRN Johor ini adalah jelas sekali sebuah penipuan dan persepsi jahat yang tidak bermoral serta mencemarkan wadah demokrasi dalam negara kita khususnya dalam menghadapi PRN negeri Johor kali ini.

“Pas menegaskan sekali lagi bahawa Pas edang memberikan penumpuan kepada pemerkasaaan jentera dalaman parti bagi tujuan PRN Johor dan juga PRU-15 yang dijangka berlaku lebih awal.

“Pas terus konsisten berusaha ke arah membentuk satu gagasan besar politik Penyatuan Ummah bersama dengan mereka yang bukan Islam serta tidak ekstrem terhadap Islam.

”Agenda Pas adalah menyatukan umat Islam bersama dengan bangsa lain yang telah menjadi tonggak serta paksi kekuatan Malaysia,” ujarnya sambil menegaskan parti itu tegas dengan hala tuju Islam Menyatukan Ummah seperti yang telah digagaskan dalam Ucapan Dasar Presiden Pas dalam muktamar tahun lalu.

Pada masa yang sama, Pas menolak mana-mana usaha keji yang cuba menimbulkan api perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu serta terus menimbulkan syak wasangka.

”Sudah tiba masanya, generasi kita pada hari ini berdiri teguh dengan prinsip Islam yang menjadi landasan kepada kunci kekuatan penyatuan ini. Berkerjasama ke arah jalan kebaikan dan kesejahteraan, bukannya berkerjasama ke atas jalan keburukan dan kemusnahan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette