Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Hadi Awang (tiga kiri) serta yang lain pada sidang media sempena Muzakarah Bersatu - PAS 2022 di Hotel Glenmarie Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2022.

SUBANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas kekal bergabung sebagai Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat dalam Resolusi Muzakarah PPBM Pas yang diadakan hari ini yang akan turut menggunakan logo PN pada PRN itu.

Menurut beliau, resolusi dua parti itu juga komited mengukuhkan jalinan kerjasama sebagai satu pasukan sehingga peringkat jentera akar umbi.

“Namun resolusi ini melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan dan mempertaruhkan nasib rakyat.

“Resolusi juga bertegas sokongan Bersatu dan Pas dalam Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi di atas nilai integriti, anti rasuah dan kebajikan,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Hadi Awang (kiri) pada sidang media sempena Muzakarah Bersatu – PAS 2022 di Hotel Glenmarie Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Muzakarah PPBM dan Pas di Glenmarie di sini.

Turut hadir Presiden Pas, Tan Sti Abdul Hadi Awang di sini.

November tahun lalu, PN kalah teruk dalam PRN Melaka selepas PPBM dan Pas bergabung pertama kali selain bersama Gerakan.

PRN Melaka menyaksikan PN tewas di 26 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, dengan PPBM yang mempertaruhkan 15 calon mewakili PN hanya menang dua kerusi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN bakal menampilkan gabungan calon muda serta berpengalaman pada PRN berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun akan diputuskan dalam tempoh terdekat membabitkan semua parti komponen PN termasuk agihan kerusi yang akan ditandingi.

“Kita akan putuskan dan akan bincang perkara itu kerana yang penting hasrat kita bertanding bagi mendapatkan mandat rakyat Johor, bangsa Johor untuk bentuk kerajaan PN di peringkat negeri.

“Dari segi calon, kita akan mengambil contoh di (PRN) Melaka yang menyaksikan gabungan orang berpengalaman dan anak muda kerana di Johor ramai tokoh berkelayakan,” katanya. – MalaysiaGazette