Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta neutral dengan tidak turun berkempen untuk mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ini kerana Kerajaan Persekutuan hari ini adalah sebuah kerajaan campuran antara Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan Gabungan Parti Sarawak di bawah kepimpinan Ismail Sabri dan sehingga hari ini beliau berjaya mengemudi kerajaan tanpa berlakunya episod krisis politik sekali lagi.

Katanya, semangat “Keluarga Malaysia” yang berkonsepkan kerajaan mendahului rakyat , Ismail Sabri terbukti proaktif dalam menangani wabak Covid-19 dan banjir baru-baru ini.

“Hampir pasti akan berlaku pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Oleh itu, demi memanjangkan hayat kerajaan hari ini, Perdana Menteri perlu bersikap neutral agar bantuan, sumbangan dan dasar kebajikan kepada rakyat tidak terhenti di tengah jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kerajaan hari ini perlu stabil hingga akhir tempoh supaya mandat dikembalikan kepada rakyat apabila keadaan Covid-19, ekonomi dan kebajikan nasional  sudah stabil. – MalaysiaGazette