M. Saravanan.

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan akan mengadakan pertemuan tidak lama lagi dengan semua syarikat yang dikenakan sitaan dan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, pertemuan tersebut bertujuan membincangkan tindakan segera yang boleh diambil untuk menyelesaikan dakwaan melibatkan amalan buruh paksa.

“Saya juga akan memanggil WRP Asia Pacific Sdn Bhd dan Top Glove Corporation Bhd, yang sekatan terhadap syarikat-syarikat ini telah ditarik balik. Kami akan ambil pendekatan yang telah dilaksanakan kedua-dua syarikat ini sebagai panduan dan penambahbaikan untuk syarikat lain,” katanya.

Saravanan berkata, pihaknya memandang serius terhadap sekatan yang dikenakan CBP AS ke atas beberapa syarikat tempatan kerana dakwaan seumpama itu boleh menjejaskan nama negara di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini CBP AS telah mengeluarkan notis penemuan dan Perintah Tahan Pelepasan (WRO) terhadap beberapa syarikat tempatan dan menyita semua produk kelapa sawit keluaran Sime Darby Plantation Berhad serta anak syarikatnya di Amerika Syarikat.

Sekatan WRO turut dikenakan ke atas produk sarung tangan getah keluaran YTY Group daripada memasuki pasaran Amerika Syarikat.

Beliau menegaskan, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja malah pihaknya telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja untuk melaksanakan siasatan segera.

“Saya komited untuk menangani isu ini segera bagi memastikan Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan amalan buruh paksa. Semua syarikat yang dikenakan sekatan eksport ini perlulah memperbaiki amalan dalaman mereka dan tindakan keras akan diambil terhadap syarikat yang masih ingkar,” katanya.

Ketika pertemuan dengan rakan sejawatannya Ida Fauziyah di Jakarta pada 24 Januari lepas, Saravanan berkata, beliau telah memberi jaminan bahawa Malaysia komited untuk melindungi dan menjaga kebajikan semua pekerja termasuk pekerja warga asing.

Beliau berkata, ia selaras dengan Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa 2021-2025 (NAPFL) yang dilancarkan pada 26 Nov lepas, berperanan sebagai kerangka bagi semua progam serta aktiviti untuk membasmi amalan buruh paksa. – Bernama