Ismail Sabri Yaakob - Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Tahun Baharu Cina rakyat diajak untuk bersatu hati menyokong usaha kerajaan bagi memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan kedatangan Tahun Harimau kerajaan berharap segala usaha untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan pada tahun-tahun seterusnya.

“Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus sektor ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial.

“Pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi.

“Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022. Ia selari dengan unjuran oleh IMF pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus,” kata Ismail Sabri.

Jelas beliau, pertumbuhan ekonomi negara akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion dan normalisasi dalam aktiviti ekonomi
dan sosial.

Penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, ujarnya.

“Semua ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan.

“Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia. Gong Xi Fa Chai Xin Nian Kuai Le,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ismail Sabri juga berharap peluang menyambut Tahun Baharu Cina digunakan sepenuhnya bagi mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

Ini kerana masyarakat Tionghua dapat kembali meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu bapa dan keluarga tercinta selepas dua tahun terpaksa menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga kerana Covid-19.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengingatkan masyarakat supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketika meraikan Tahun Baharu Cina.

“Namun di kala bergembira, usah dilupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan kita semua dapat terus hidup membendung penularan wabak Covid-19.

“Terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette