Syed Badli Shah Syed Osman
Syed Badli Shah Syed Osman.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dinasihatkan agar berhati-hati dalam berbicara soal Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana, dalaman Perikatan Nasional (PN) itu sendiri kini berkecamuk dan hampir berpecah-belah.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, secara jelas UMNO yang merupakan rakan sekutu rapat PN mula menolak gabungan itu kerana amalan politik khianat berleluasa dalam gabungan itu.

”Azmin semakin tidak dipercayai oleh rakan-rakan sekutunya kerana beliau sendiri mempunyai rekod pengkhianatan terhadap rakan sepasukan.

”Selepas Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Kini Johor, PN semakin ditinggalkan oleh rakyat dan rakan-rakan sekutu mereka sendiri,” katanya yang menjangkakan yang masa depan politik Azmin semakin kabur dan PN bakal terkubur dalam sedikit masa lagi.

”Justeru itu saya ingin menasihatkan Azmin agar berhati-hati dalam berbicara kerana kisah pengkhianatannya akan sentiasa dikenang sepanjang hayat,” ujar beliau.

Semalam, Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang enggan menggunakan lambang PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula hilang keyakinan terhadap gabungan pembangkang.

Dakwanya, akar umbi pembangkang kini hangat mempersoalkan tindakan Pengerusi PH itu yang dilihat tidak bersedia menggunakan logo PH.

”Bagaimana nak jelaskan kepada rakyat, apabila ketua sebuah gabungan parti tidak bersedia menggunakan logo parti sendiri,” ujarnya.

Oleh itu, Azmin meminta rakyat Johor mengambil kira perkara itu ketika membuat keputusan dalam PRN Johor nanti. – MalaysiaGazette