KUALA LUMPUR – SME Bank telah menandatangani persetujuan dengan SME Corp. Malaysia (SME Corp.) bagi menawarkan pembiayaan modal kerja tetap di bawah kemudahan Modal Kerja@BAP untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui peruntukan dana berjumlah RM50 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, masih terdapat banyak PKS yang memerlukan suntikan dana bagi memastikan mereka dapat terus beroperasi semasa dan pasca-pandemik Covid-19.

Program BAP dibuka kepada semua usahawan PKS yang memenuhi syarat-syarat iaitu mempunyai sijil status pendaftaran PKS, memenuhi definisi PKS, telah melalui atau bersedia untuk melalui penilaian SCORE / MCORE oleh SME Corp.

Usahawan PKS dapat memanfaatkan dana ini kerana tidak perlu mengeluarkan dana tambahan kerana syarat cagaran 5% daripada jumlah pembiayaan diambil terus daripada pembiayaan yang diluluskan.

Tambah Rizal, pembiayaan modal kerja tetap ini bertujuan untuk membantu PKS yang terjejas akibat pandemik Covid-19 meneruskan operasi syarikat dengan cara memudahkan proses mendapatkan pembiayaan melalui penggunaan format penilaian yang lebih ringkas dan fokus kepada jenis pembiayaan yang diperlukan.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, SME Bank telah meluluskan pembiayaan kepada 542 buah syarikat dengan nilai pembiayaan RM247.35 juta sejak tahun 2011.

“SME Bank dan SME Corp. bersetuju untuk memberi fleksibiliti
kepada PKS bagi menggunakan dana RM50 juta ini bagi pembiayaan modal kerja tetap yang merangkumi perbelanjaan operasi, gaji dan lain-lain.

Sebelum ini, pembiayaan modal kerja bagi BAP adalah terhad untuk projek ubahsuai, pembelian bahan mentah dan inventori.

Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat dengan kadar keuntungan sebanyak 4% setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast