Dua kanak-kanak berusia 2 dan sembilan tahun antara 14 PATI warga Indonesia yang dicekup ketika bersembunyi di rumah atas air di Sabah ketika menyusup masuk ke negeri itu secara haram menggunakan bot di perairan laut semalam. Kredit ATB 2 Tawau.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang bersembunyi dalam sebuah rumah di kampung air di Tawau dicekup Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Mereka dipercayai menyusup masuk ke perairan Tawau dengan menggunakan bot.

Menurut kenyataan ATB 2, kejayaan itu adalah hasil dari pengesanan awal menerusi Radar CSS (Coastal Surveillance Station) yang mengesan sebuah buah bot dari arah luar sempadan perairan Malaysia memasuki perairan negara secara haram pada jam 7.38 malam tadi.

“Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah bertindak mengarahkan Tim Quick Reaction Force (QRF) di bawah pemerintahan Komander ATB 2 yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama untuk melaksanakan tinjauan ke kawasan Kampung Kurnia Jaya

“Hasil dari tindakan pantas Tim QRF telah berjaya menahan 14 PATI yang sedang bersembunyi di dalam sebuah rumah kosong, di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya, Tawau,” katanya, hari ini.

Tambah kenyataan itu, bot yang membawa kesemua PATI itu gagal dikesan oleh Tim QRF dan dipercayai bersembunyi di kawasan kampung air.

Jelasnya, hasil pemeriksaan awal terhadap 14 PATI itu mendapati mereka merupakan warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah yang cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

“Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dewasa berusia antara 19 hingga 41 tahun, lima wanita dewasa berusia antara 21 hingga 48 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang ditemui bersama barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang terlarang.

“Mereka dimaklumkan telah menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 9.20 malam tadi bagi tujuan soal siasat, laporan polis dan proses saringan Covid-19.

Dua kanak-kanak berusia 2 dan sembilan tahun antara 14 PATI warga Indonesia yang dicekup ketika bersembunyi di rumah atas air di Sabah ketika menyusup masuk ke negeri itu secara haram menggunakan bot di perairan laut semalam. Kredit ATB 2 Tawau.

Sementara itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata,  ia merupakan kejayaan tangkapan PATI yang kelima sepanjang bulan Januari tahun ini.

Menurut beliau, ATB 2 telah mengarahkan Tim QRF mempelbagaikan corak rondaan dalam usaha mematahkan aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Disamping itu juga, ATB 2 telah mempelbagaikan risikan dan pengumpulan maklumat bagi menangkap tekong darat di setiap masa.

“Semua usaha dilaksanakan sebagai memantau secara berterusan dan mengeksploitasikan keupayaan radar dan dron bagi memastikan kejayaan aturgerak operasi yang dilaksanakan selain itu ATB 2 berusaha bagi mengukuhkan jaringan komunikasi di antara semua agensi penguatkuasa untuk bersama-sama mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dari terus berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette