ALOR GAJAH – Padah melanggar lampu isyarat merah, dua beradik parah selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah lori dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, nahas kira-kira jam 8.40 malam itu mengakibatkan dua beradik perempuan berusia 28 dan 19 tahun parah di beberapa anggota badan.

Video rempuhan kuat kemalangan itu turut viral di media sosial melalui rakaman ‘dashcam’ pengguna jalan raya lain yang menyaksikan motosikal jenis Honda Wave itu berkecai dirempuh lori terbabit.

Menurut Arshad, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang perempuan berusia 28 tahun itu yang membonceng adik perempuannya berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Simpang Ampat ke Alor Gajah.

“Sebaik tiba di lampu isyarat itu, mangsa membelok ke kanan lampu isyarat dan pada masa sama datang sebuah lori muatan kurier dari arah bertentangan yang meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat berwarna hijau.

“Rempuhan kuat yang berlaku di tengah-tengah lampu isyarat mengakibatkan kedua-dua mangsa yang beralamat di Jerteh, Terengganu parah di beberapa bahagian badan dan berada dalam keadaan koma di zon merah Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemandu dan kelindan lori kedua-duanya berusia 28 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan juga mendapati ada rakaman video dashcam dari sebuah kenderaan yang turut berada di tempat kejadian.

“Difahamkan juga kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Ampang, Selangor, namun tujuannya belum diketahui kerana mangsa masih dalam keadaan koma,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujar beliau. – MalaysiaGazette