PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah memperhebatkan pemburuan dua suspek warga asing bermotosikal yang menyamun seorang wanita tempatan di Taman Sri Muda, Shah Alam hari ini.

Ketua Polis daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, insiden itu berlaku pada jam 9.30 pagi tadi ketika mangsa menunggang motosikal di Seksyen 25.

“Semasa kejadian mangsa seorang penghantar makanan e hailing sambilan berusia 29 tahun menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan untuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan di taman perumahan tersebut.

“Tiba-tiba suspek dua orang lelaki disyaki warganegara Indonesia, berbadan kurus menaiki motosikal Yamaha LC warna merah dengan memakai topi keledar masing-masing warna biru dan merah serta memiliki parang yang disembunyikan di dalam bajunya.

“Mereka mendekati dan menghalang mangsa sebelum menarik gelang emas milik mangsa yang dianggarkan bernilai lebih RM1,800 dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa sekadar luka calar pada tangannya dan polis telah menerima laporan polis daripada mangsa berkenaan sekitar jam lebih kurang 10 pagi tadi.

“Kita telah memperhebatkan usaha mengesan kedua-dua suspek bermotosikal dan bersenjata parang itu.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dan bersenjata.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Roshaza di talian 03-55202222,”. – MalaysiaGazette